Tuesday, February 12, 2008

Sambutan Hari Kekasih

Kita bangsa melayu di Malaysia sepatutnya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana telah diberi nikmat hidayah daripada Allah sebelum kelahiran lagi. Ibu bapa, nenek datuk kita telah pun Islam sejak beberapa generasi sebelum kelahiran kita. Ini berbeza kepada saudara kita di Amerika Syarikat, China dan United Kingdom yang mendapat hidayah Islam selepas pengkajian dan pemahaman tentang agama Islam.

Corak hidup masyarakat melayu dipengaruhi oleh unsur-unsur budaya berasaskan Islam. Walaupun hakikatnya adat dan budaya hindu masih menular di kalangan kaum melayu (kerana hindu merupakan agama utama sebelum kehadiran Islam di nusantara), namun, tidak dapat kita nafikan bahawa kehadiran Islam telah merubah kaum melayu kepada kaum yang dihormati dan dikagumi dengan sopan santun dan budaya yang bermaruah.

Beberapa hadis nabi s.a.w menyebutkan tentang amaran dan ingatan Rasulullah tentang umat Islam yang meniru dan menyerupai gaya hidup bukan Islam. Menurut beberapa hadis, nabi Muhammad mengingatkan ummatnya supaya tidak menuruti kaum lain, jangan menuruti Nasrani dan jangan menuruti Yahudi.
Ini jelas menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama cincai yang boleh dicampur aduk antara agama-agama lain. Kesucian dan roh Islam hendaklah dipelihara oleh seluruh umat Islam dengan mengamalkan budaya hidup seorang muslim.

Asal usul sambutan hari valentine
Terdapat beberapa pendapat mengenai sambutan hari valentine. Namun yang paling popular ialah mengenai paderi yang bernama Valentine/St Valentine yang dihukum bunuh kerana mengahwinkan pasangan ketika pemerintah ketika itu mengharamkan perkahwinan dek ingin menumpukan kepada ketenteraan. Valentine yang tidak bersetuju dengan pemerintah bertindak mengahwinkan pasangan walaupun dilarang. Akhirnya dia dihukum bunuh oleh pemerintah ketika itu.

Tindakan remaja Melayu Islam menyambut hari valentine jelas menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Selain daripada menyambut sambutan yang berunsurkan keagamaan selain agama Islam, sambutan hari kekasih ini menggalakkan perlakuan tidak menurut syara', malahan, perhubungan Muslim sebelum perkahwinan mempunyai batasan yang amat jelas.
Ingatlah amaran Rasulullah s.a.w. tentang pengamalan budaya selain budaya Islam.

Berpasangan secara Islam
Tidak patut wujud kekeliruan dalam hal berpasangan secara Islam kerana hanya dengan ikatan yang sah sahaja yang dibenarkan perhubungan dalam Islam.
Tiada istilah berpasangan secara Islam kecuali nikah.
Malah, pasangan yang telah bertunang juga mempunyai batas-batas syara' yang jelas dan nyata.

Saya yakin dan percaya remaja masa kini telah pun didedahkan dengan maklumat-maklumat yang jauh lebih tepat dan padat daripada entri saya yang tidak seberapa ini, namun adakah kita mahu mengakui kebenaran sebagai kebenaran atau terus menipu diri sendiri melakukan kemaksiatan dengan memberikan alasan-alasan yang cuba dibuat-buat untuk melegakan hati dan perasaan. Tiada istilah kami boleh mengawal nafsu dan sebagainya kerana apa yang ditekankan bukanlah itu semua, hanya yang patut kita fahami, segala ajaran Islam adalah wajib dituruti tanpa apa alasan sekalipun.

Alasan
Seperti seorang yang minum arak, walaupun tidak mabuk, ia tetap haram dan berdosa, walaupun dikatakan arak itu haram kerana memabukkan... Jika tidak mabuk sekalipun, ia tetap haram di sisi Islam.
Begitu juga berpasang-pasangan dan sambutan valentine ini. Kamu mungkin tidak berzina atau melampaui batas, namun, ajaran Islam itu yang patut didahulukan, bukan tuntutan peribadi.
Alasan tidak akan menggugurkan hukum.!

Waalahua'lam
[Saya memohon ampun daripada Allah dan maaf kepada Rasulullah andai ada kesilapan maklumat dalam entri ini]
------------------------------------------------------------------------------------------------
source : http://the-adolescencia.blogspot.com

No comments: