Sempena Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sehingga 13 April
MAHASISWA adalah golongan yang akan memimpin dan menerajui kepemimpinan negara masa depan. Justeru, persediaan yang perlu dibuat untuk mengisi minda ialah dengan memasukkan pelbagai ilmu sama ada menerusi pengalaman dan pembacaan.
Di Malaysia, cukup banyak medium untuk pelajar sekolah dan mahasiswa membudayakan pembacaan. Antara menerusi akhbar, majalah, buku, risalah, kertas kerja, melayari laman web dan sebagainya.
Fokus kita adalah pembacaan menerusi medium buku. Sejarah buku bermula apabila orang Mesir mencipta kertas papirus pada 2,400 SM. Adapun kertas papirus yang ditulis tulisan ini digulung untuk menjadi 'skrol' dan diyakini adalah bentuk buku paling awal.
Buku memasuki era baru apabila industri kertas dikembangkan. Kertas dipercayai muncul di negara China seawal tahun 200 SM. Selepas itu teknologi ini dibawa pedagang Muslim ke Eropah sebelum abad ke-11. Dengan adanya kertas, penulisan menjadi lebih mudah kerana kertas mempunyai ciri mudah disimpan dan tahan lama.
Amalan membaca buku tambahan di kalangan pelajar universiti di negara ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan pelajar universiti di luar negara. Secara purata mereka hanya membaca 12 buku selama tiga tahun pengajian. Dapat kita fahami bahawa mahasiswa sangat lemah dalam pembacaan. Dalam tiga tahun tempoh pengajian puratanya empat buku setahun. Perkara ini dilihat amat memalukan kerana mahasiswa di kategori sebagai generasi atau golongan intelek yang berpengetahuan luas di mata masyarakat.
Harus diingat, setiap kali buku dibaca, si pembaca bagaikan menitiskan air ke dalam gelas kosong. Jika pembacaan itu banyak, maka makin banyak titisan air ke dalam gelas sehingga penuh. Analogi ini wajar disematkan dalam sanubari setiap mahasiswa agar pembudayaan budaya membaca dijadikan suatu keperluan penting.
Pensyarah Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Dr Ratna Roshida Abd Razak berpendapat, buku adalah pasangan paling setia kepada pencintanya. Ke mana saja mereka pergi tetap ditemani pasangannya itu.
Al-Jahiz, seorang ulama besar Islam yang mempunyai komitmen tinggi terhadap ilmu dan pembacaan sehingga mati tertindih bukunya pernah berkata: "Buku itu akan diam bila engkau menyuruhnya diam. Dia tidak akan mengganggumu kalau engkau sedang bekerja, tetapi bila engkau diulit kesepian dialah teman paling baik."
Kekurangan minat membaca di kalangan mahasiswa negara ini mungkin disebabkan mereka tidak dilatih sejak kecil. Malah, mungkin juga ada kaitan dengan sikap mahasiswa yang terlalu bergantung pada nota yang disediakan pensyarah. Mahasiswa beranggapan pembacaan nota memadai tanpa perlu membaca buku lain bagi meningkatkan prestasi akademik.
Pensyarah amat menggalakkan mahasiswa sentiasa berdampingan dengan buku dan sentiasa membaca buku, tetapi apa yang dapat dilihat mahasiswa kurang ke perpustakaan untuk meminjam dan membaca buku. Perkara ini dikatakan mahasiswa Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Wan Mohd Amer Yusoff yang mengkaji kekerapan pelajar Akademi Pengajian Islam ke perpustakaan. Ia dilihat secara rawak hanya sekali dalam satu minggu mahasiswa ke perpustakaan, itu pun berkaitan dengan carian untuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.
Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena), Syed Mohamad Zakir Syed Othman (SM Zakir) menyatakan harga buku hanya dijadikan 'kambing hitam' oleh sebahagian masyarakat. Katanya lagi harga buku yang tinggi dijadikan alasan utama kurang membaca.
Kempen pembacaan pada peringkat kampus IPT perlu diadakan secara sistematik dan berterusan serta meluas. Antaranya kempen menerusi poster, ceramah, forum atau diskusi buku. Kempen ini perlu dianjur pihak pentadbiran atau persatuan pelajar agar pembudayaan membaca ini berterusan sebagai cara menambah pengetahuan.
Sebagai contoh, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menggunakan slogan 'Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya' untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya nilai pembacaan dalam era globalisasi ini.
Selain itu, perpustakaan harus diperkasa agar dijadikan tempat berbincang. Perpustakaan tidak hanya dijadikan gajah putih di mata pelajar kerana jika berlaku sedemikian, perpustakaan yang kaya dengan khazanah ilmu tidak dimanfaat oleh pelajar.
Cadangan lain adalah menurunkan harga buku secara berpatutan agar mahasiswa tidak menjadikan harga buku mahal sebagai alasan tidak membeli, apa lagi membaca. Sebagai contoh, rakyat Jepun berpeluang membaca buku apa saja kerana dijual dengan harga berpatutan untuk melatih rakyatnya membaca. Langkah ini a untuk memastikan rakyat Jepun memperoleh ilmu semaksimum mungkin tanpa batasan.
Kebijaksanaan pelaksanaan ini menjadikan Jepun negara membangun dan mampu menandingi keupayaan Barat dari pelbagai aspek lebih-lebih lagi dalam bidang teknologi. Jadi, wajarlah pihak penerbitan buku meletakkan harga berpatutan agar budaya pembacaan ini menjadi budaya mahasiswa IPT.
Selain itu, persatuan pelajar juga perlu menggemblengkan ahlinya agar membudayakan membaca kerana kebanyakan ahli hanya bijak membuat pelbagai program tetapi kurang keintelektualan dalam pembacaan. Mahasiswa perlu mencari jalan penyelesaian, kaedah dan alternatif terbaik memupuk semangat kuat membaca kerana membaca adalah teras keilmuan.
Penulis ialah Koordinator Pendidikan Pengguna dan Masyarakat Persatuan Teras Pengupayaan Melayu (Teras)
original source
No comments:
Post a Comment