KETIKA sebahagian remaja lain mencetus masalah kepada negara, terdapat beberapa rakan mereka yang berjaya menjadi jutawan sebelum mencecah umur 20 tahun.
Dua remaja dari Amerika Syarikat (AS) dan dua lagi dari Britain berjaya membuktikan bahawa kekayaan boleh diperoleh ketika usia mereka masih di peringkat remaja.
Persamaan yang dihadapi oleh mereka ialah bijak menghidu peluang perniagaan dan menjadikan idea sebagai satu realiti.
Tiga remaja itu adalah Catherine Cook dan Cameron Johnson dari AS manakala Fraser Doherty serta Adam Hildreth berasal dari Britain.
Empat daripada lima remaja itu mencipta kekayaan menerusi internet tetapi Doherty melakukan kaedah lama iaitu dengan menjual jem yang menggunakan resipi sendiri.
Doherty mula membuat jem ketika berumur 14 tahun dengan menggunakan resipi neneknya di rumah ibu bapanya di Edinburg, Scotland.
Jem buatannya itu digemari oleh jiran dan rakan-rakan gerejanya.
Dia kemudian menerima banyak tempahan sehingga remaja itu terpaksa menyewa sebuah kilang memproses makanan dalam tempoh beberapa hari dalam sebulan.
Ketika berumur 16 tahun, dia menamatkan persekolahan dengan restu ibu bapanya untuk bekerja bagi membuat jem sepenuh jam.
Pada awal tahun 2007, pihak pengurusan rangkaian pasar raya Waitrose menemui Doherty bagi membolehkan jemnya yang dikenali sebagai Superjam dijual di rangkaiannya.
Dalam tempoh beberapa bulan, jemnya itu dijual di 184 pasar raya Waitrose menyebabkan perniagaan remaja itu semakin meningkat.
Doherty meminjam AS$9,000 (RM29,111) dari sebuah bank untuk menampung perbelanjaan am dan kilang bagi menghasilkan tiga perasa jem.
Pada Mac ini, superjam akan dijual di Tesco di Ireland di mana pada tahun lalu jualan Superjam mencecah AS$750,000 (RM2.43 juta) manakala pendapatannya dianggarkan antara AS$1 juta (RM3.23 juta) hingga AS$2 juta (RM6.47 juta).
"Miliki sikap suka cabaran dan nikmati perjalananya," kata remaja itu kepada usahawan muda.
Pada tahun 1994, Johnson memulakan peniagaan ketika berumur sembilan tahun di rumahnya di Virginia, AS dengan membuat kad undangan untuk parti ibu bapanya.
Ketika berumur 11 tahun, Johnson menjual kad ucapan dengan menubuhkan syarikatnya, Cheers dan Tears dan memperoleh pendapatan ribuan dolar.
Dia kemudian menawarkan adik perempuannya untuk membeli koleksi 30 patung Ty Beanie Babies pada harga AS$100 (RM323) dan remaja itu memperoleh pulangan 10 kali ganda selepas menjualnya semula di laman web lelong eBay.
Johnson yang menghidu potensi perniagaan itu kemudian menghubungi syarikat anak patung Ty dan mula membeli secara pukal sebelum menjualnya semula di eBay dan laman web syarikat miliknya, Cheers and Tears.
Tidak sampai setahun, Johnson berjaya memperoleh AS$50,000 (RM161,737) dan melakukan usaha sama dengan My EZ Mail di mana dia memperoleh AS$3,000 (RM9,703) sebulan dalam bentuk pulangan pengiklanan.
Johnson kemudian menyertai dua usahawan remaja Aaron Greenspan dan Tom Kho untuk menubuhkan sebuah syarikat pengiklanan di internet dikenali sebagai Surfingprizes.com.
"Saya hanya berumur 15 tahun tetapi menerima cek antara AS$300,000 (RM970,388) dan AS$400,000 (RM1.29 juta) sebulan," kata Johnson.
Ketika berumur 19 tahun, dia menjual nama dan perisian syarikatnya kepada seorang penjual.
"Sebelum saya menamatkan sekolah tinggi, keseluruhan aset saya berjumlah lebih AS$1 juta (RM3.23 juta)," katanya.
|
|
Cook memulakan perniagaan laman jaringan sosial MyYearbook.com selepas berjaya memujuk abang sulungnya Geoff melabur modal sebanyak AS$250,000 (RM808,587) pada tahun 2005 ketika gadis tersebut berumur 15 tahun.
Laman web itu kemudian bergabung dengan Zenhex.com iaitu satu laman iklan sokongan dan pada tahun 2006, MyYearbook berjaya memperoleh perolehan AS$4.1 juta (RM13.26 juta).
Sejak itu, laman itu berjaya menarik pengiklan daripada syarikat gergasi seperti Neutrogena, Disney dan ABC.
"Saya tidak memandu kereta mewah. Pada keseluruhannya saya dalam dunia yang penuh dengan cabaran," kata Cook.
Hildreth dari West Yorkshire, England menceburi bidang perniagaan pada 1999 ketika berumur 14 tahun dengan menubuhkan laman jaringan sosial di internet dikenali sebagai Dubit Limited.
Syarikat seperti Coca-Cola menggunakan laman itu untuk mempromosikan barangannya kepada golongan muda.
Hildreth berkhidmat sebagai pengarah urusan syarikat miliknya itu hampir empat tahun di mana lamannya itu mencatatakan jumlah kunjungan remaja paling ramai di England.
Pada tahun 2004, Perbadanan Penyiaran British (BBC) menamakan Hildreth yang ketika itu berumur 19 tahun sebagai antara 20 remaja paling kaya di Britain dengan pendapatannya dianggarkan berjumlah AS$3.7 juta (RM11.96 juta). - Agensi
source: kosmo online
No comments:
Post a Comment